[VIDEO] “Ruang Rindu-Letto Cover By Kucaimars jadi Bualan Netizen”- Dikata Seiras Suara Penyanyi Asal

KALAU ditanya kepada mereka yang berusia 30 tahun ke atas sama ada mengenali Kucaimars, mungkin kebanyakannya akan menggelengkan kepala. Memang benar, remaja berusia 21 tahun ini bukan artis arus perdana yang kerap menjadi bahan gosip dalam akhbar atau televisyen.

Bagaimanapun, individu di sebalik nama pentas Kucaimars iaitu Amirul Husyairi Nani telah mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan remaja terutama pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Semuanya bermula pada April lalu apabila dia tampil menyanyikan lagu ‘cover’ iaitu ‘Di Matamu’ dendangan asal penyanyi Sufian Suhaimi yang dikongsi di laman Instagram. Ramai yang kagum dengan suara serta cara nyanyiannya dan dalam masa singkat video itu ditonton kira-kira 11,000 kali.

Sejak itu aturan hidup graduan Diploma Kreatif (Teater) dari Universiti Teknologi Mara, Puncak Perdana di Shah Alam ini berubah 360 darjah. Popularitinya semakin meluas terutama dalam kalangan generasi muda di kampus-kampus universiti seluruh negara. Dalam tempoh lapan bulan saja, pengikut laman Instagram miliknya mencecah 228,000 orang!.

Kuasa media sosial menjadi platform buat anak sulung daripada empat beradik ini mencipta jenama sendiri. Sehingga kini dia telah menghasilkan kira-kira 25 lagu cover antaranya ‘Sephia’ (Sheila On 7); ‘Bunga (Masdo) dan ‘Menghapus Jejakmu (Peterpan). Bahkan, lagu ‘Dinda’ oleh kugiran Masdo yang dinyanyikannya mencecah tontonan kira-kira 700,000 kali. Paling terbaru ‘Dan’ (Sheila On 7) dan ‘Ruang Rindu’ (Letto)

“Saya terkejut ramai yang menonton video nyanyian saya dan mengikuti perkembangan saya dalam media sosial. Pada awalnya saya buat lagu cover setelah diminta oleh kawan-kawan selepas menamatkan pengajian pada Mac lalu.

“Sekarang ini saya menerima banyak undangan menyanyi dan dalam masa empat bulan lalu jadual juga padat kerana menerima lebih 30 jemputan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kebanyakan undangan yang diterima melibatkan majlis keraian dan pesta konvokesyen universiti-universiti tempatan.

Mengakui kebanyakan penggemarnya terdiri daripada gadis remaja, Kucaimars tidak dapat mengelak daripada diganggu segelintir peminat yang terlalu teruja dengan penampilan anak kelahiran Negeri Sembilan ini.

“Ada peminat yang tak henti-henti hantar mesej peribadi menerusi Instagram, malah mengejar kereta saya naiki dan sanggup tunggu berjam-jam untuk berjumpa. Memang ini tak pernah saya alami sebelum ini, tetapi saya hargai sokongan mereka,” katanya.

Ditanya bagaimana mendapat nama Kucaimars, ceritanya, ia adalah gabungan dua perkataan iaitu ‘kucai’ dan ‘Mars’.

“Gelaran kucai diberikan seorang jurulatih semasa saya menjalani latihan bola sepak di tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi di Senawang kerana nama sebenar saya agak panjang. Mars pula adalah jenama coklat yang saya suka sejak kecil. Ia tak ada kaitan dengan penyanyi Bruno Mars,” terangnya.

Meminati pasukan bola sepak Negeri Sembilan dan kelab England, Chelsea, dia yang pernah mewakili daerah Seremban semasa di sekolah menengah mengakui mungkin menjadi pemain bola sepak jika tidak menceburi bidang seni.

Perjalanan seni anak kepada pasangan ahli perniagaan, Nani Sakam, 57, dan guru, Misah Mustafa, 45, ini semakin serius apabila bakal tampil dengan single pertama berjudul Jawab di bawah label syarikat Warner Music pada bulan depan.

Lagu berkonsep pop alternatif itu dihasilkan oleh Akim dan Zarimi daripada kumpulan Akim & The Majistret. Bekerja dengan dua individu itu memberinya banyak pendedahan dalam penghasilan lagu. Meskipun kerap dimarahi, namun dia menganggapnya sebahagian proses pembelajaran.

“Saya pernah menempuh kesusahan bersama band ‘Q4’ semasa di sekolah menengah. Kami naik komuter untuk buat persembahan. Saya sedia untuk berusaha walaupun media sosial telah banyak memudahkan artis baharu,” katanya yang kagum dengan semangat artis-artis veteran yang popular hasil kerja keras.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber: IG kucaimars Via Sweetnutella/Viral Kami

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*